Gembira hatinya, gembiralah Rasulullah s.a.w. Tertitis air matanya, berdukalah baginda. Dialah satu-satunya puteri yang paling dikasihi oleh junjungan Rasul selepas kewafatan isterinya yang paling dicintai, Siti Khadijah. Itulah Siti Fatimah r.a., wanita terkemuka di dunia dan penghuni syurga di akhirat.
Bersuamikan Sayyidina Ali bukanlah satu kebanggaan yang menjanjikan kekayaan harta. Ini adalah karena Sayyidina Ali merupakan salah seorang dari empat sahabat yang sangat dekat dengan Rasulullah s.a.w., dan merupakan sahabat yang sangat miskin dibanding dengan yang lain. Namun jauh di sanubari Rasulullah s.a.w. tersimpan perasaan kasih dan sayang yang sangat mendalam terhadapnya.
Bahkan Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepadanya, "Fatimah lebih kucintai daripada engkau, namun dalam pandanganku engkau lebih mulia daripada dia." (Riwayat Abu Hurairah)
Wanita pilihan untuk lelaki pilihan. Fatimah mewarisi akhlak ibunya Siti Khadijah. Tidak pernah membebani dan menyakiti suami dengan kata-kata atau sikap. Senantiasa tersenyum menyambut kepulangan suami hingga hilang separuh masalah suaminya.
Dengan mas kawin hanya 400 dirham hasil penjualan baju perang kepada Sayyidina Usman Ibnu Affan itulah dia mengawali hidup baru dengan wanita yang sangat dimuliakan Allah di dunia dan di Akhirat.
Bukan Sayyidina Ali tidak mau menyediakan seorang pembantu untuk isterinya tetapi memang beliau tidak mampu berbuat demikian. Meskipun cukup tahu isterinya saban hari bekerja mengurus anak-anak, memasak, membasuh dan menggiling tepung, dan yang lebih menyedihkan lagi bila terpaksa mengangkat air berkilo-kilo jauhnya sehingga kelihatan tanda di bahu kiri dan kanannya.
Suami mana yang tidak sayang isteri. Ada saatnya bila Sayyidina Ali berada di rumah, beliau akan turut membantu Siti Fatimah menggiling tepung di dapur. "Terima kasih suamiku," bisik Fatimah pada suaminya. Usaha sekecil itu, di celah-celah kesibukan sudah cukup berkesan dalam membelai perasaan seorang isteri.
Suatu hari, Rasulullah s.a.w. masuk ke rumah anaknya. dan menemukan puterinya yang berpakaian kasar itu sedang menggiling biji-biji gandum dalam linangan air mata.
Fatimah segera mengusap air matanya ketika menyadari kehadiran ayahanda kesayangannya itu. Lalu ditanya oleh Rasulullah, "wahai buah hatiku, apakah yang engkau tangiskan itu? Semoga Allah menggembirakanmu."
Dalam nada sedih Fatimah berkata, "Wahai ayahanda, sesungguhnya anakmu ini terlalu lelah karena terpaksa menggiling gandum dan mengurus segala urusan rumah seorang diri. Wahai ayahanda, kiranya tidak keberatan bolehkah ayahanda meminta suamiku menyediakan seorang pembantu untukku?"
Rasulullah tersenyum seraya bangkit mendapatkan kisaran tepung itu. Dengan lafaz Bismillah, Rasulullah meletakkan segenggam gandum ke dalam alat penggiling itu. Dengan izin Allah, maka berpusinglah gilingan itu dengan sendirinya. Hati Fatimah sangat terhibur dan merasa sangat gembira dengan hadiah istimewa dari ayahandanya itu. Habis semua gandumnya tergiling dan batu giling itu tidak akan berhenti selagi tidak ada perintah untuk berhenti, sehinggalah Rasulullah s.a.w. menghentikannya.
Berkata Rasulullah s.a.w. dengan kata-kata yang masyhur, "Wahai Fatimah, Gunung Uhud pernah ditawarkan kepadaku untuk menjadi emas, namun ayahanda memilih untuk keluarga kita kesenangan di akhirat." Jelas, Baginda Rasul mau mendidik puterinya bahwa kesusahan bukanlah penghalang untuk menjadi solehah.
Ayahanda yang penyayang terus menatap puterinya dengan pandangan kasih sayang, "Puteriku, mahukah engkau kuajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kau pinta itu?" Tentu sekali ya Rasulullah," jawab Siti Fatimah kegirangan.
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jibril telah mengajarku beberapa kalimah. Setiap kali selesai sembahyang, hendaklah membaca Subhanallah sepuluh kali, Alhamdulillah sepuluh kali dan Allahu Akbar sepuluh kali. Kemudian ketika hendak tidur baca Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar ini sebanyak tiga puluh tiga kali."
Ternyata amalan itu telah memberi kesan kepada Siti Fatimah. Semua kerja rumah dapat dilaksanakan dengan mudah dan sempurna meskipun tanpa pembantu rumah. Itulah hadiah istimewa dari Allah buat hamba-hamba yang hatinya sentiasa mengingatiNya. geocities
updated: Friday, January 28, 2000 11:25:09 AM