Wanita Islam antara Dua Sisi

UMUMNYA wanita Islam hari ini terperangkap dalam dua sisi budaya yang bertentangan - sisi tradisi yang serba terkungkung dan sisi budaya Barat yang bebas tanpa batas. Pihak yang berjuang untuk membebaskan wanita, berusaha mengeluarkan wanita Islam dan kungkungan tradisi itu kepada kehidupan bebas wanita Barat. Sedangkan mereka yang berusaha menyelamatkan wanita Islam dari khayalan dan kebebasan palsu Barat berusaha agar wanita kekal dalam kongkongan budaya tradisi.

Pejuang pembebasan wanita Islam yang terpengaruh dengan gerakan pembebasan wanita Barat, mempunyai tanggapan keadaan yang dialami wanita Islam lebih disebabkan pada keadaan tradisi yang dibentuk oleh Islam.

Mereka tidak sadar dan tidak mahu menyadari keadaan itu sebenarnya adalah penyelewengan dari ajaran Islam. Apabila mereka berjuang membawa wanita Islam ke arah pembebasan yang diperjuangkan wanita Barat, mereka sebenarnya sedang membebaskan wanita Islam dari cengkeraman mulut harimau untuk memasuki mulut buaya.

Kalangan yang berusaha menyelamatkan wanita Islam dari pengaruh budaya Barat mencoba mengurung wanita dalam rumah dan menafikan segala hak dan kebebasan wanita. Mereka menjadikan wanita seolah-olah hamba abdi.

Peranan wanita bagi golongan ini hanya untuk memberikan khidmat seks kepada lelaki. Shaik Mohammad al-Ghazali dan Shaikh Yusuf Qardhawi menceritakan bagaimana seorang khatib berbicara dalam khutbahnya bahawa wanita Islam kononnya, tidak boleh keluar seumur hidupnya kecuali tiga kali: Pertama pada hari ia keluar dari perut ibunya ke dunia; kedua ialah dari rumah ibu bapanya ke rumah suaminya dan ketiga dari rumah suaminya ke kubur.

Zana dan Nadia Muhsin ialah dua gadis yang lahir ke dunia hasil hubungan hidup tanpa nikah antara Muthanna Muhsin dan Mariam.

Hasil hubungan hidup itu melahirkan beberapa orang anak. Zana dan Nadia ialah anak ketiga dan keempat dari pasangan itu. Keluarga ini dari benih Islam. Tetapi sudah tidak menghiraukan lagi cara hidup Islam.

Muthanna, meskipun tidak lagi mematuhi agamanya, tetapi masih berpegang kepada tradisi kampung di Yaman yang percaya bahawa salah satu daripada sifat kelakian itu ialah tidak memberi muka kepada wanita. Secara diam-diam ia berhasil mengantar anaknya yang pertama Ahmad dan adiknya Laila ke Yaman. Kemudian, dengan cara yang sama, ia mengatur perkawinan Zana dan Nadia dengan anak kawannya di kampung asal mereka di Yaman.

Zana menceritakan bagaimana penindasan yang berlaku ke atas dirinya dan wanita Islam di kampung tempat mereka tinggal di Yaman dalam buku The Sold.

Penindasan yang menimpa wanita Islam itu hampir menyamai penindasan yang berlaku ke atas wanita di zaman Jahiliah yang kemudian dibebaskan oleh Islam. Apakah keadaan yang berlaku itu menunjukkan cara hidup Jahiliah kembali lagi dan menguasai sebagian masyarakat Islam di negara seperti Yaman itu?

Keadaan yang sama berlaku kepada Tehmena Durrani seperti yang dipaparkan dalam My Feudal Lord, Samihah dalam The Princess, Betty Mahmoodi dalam Not Without My Daughter dan lain-lain.

Wanita Islam yang terjepit, melihat di depan mereka hanya ada dua sisi, yaitu tradisi yang serba terkungkung dan cara hidup Barat yang serba bebas. Jika mereka inginkan kebebasan, mereka mesti meninggalkan kehidupan tradisi dan memasuki dunia kehidupan Barat.

Tiada lagi jalan lain untuk dipilih. Bagaimanapun wanita ini tidak boleh dianggap mewakili wanita Islam yang sebenarnya karena mereka tidak memahami Islam dan tidak beramal dengan cara hidup Islam sebenarnya.

Keadaan jualah yang memburukkan nasib wanita sekaligus memburukkan imej Islam. Karena itu, pembebasan wanita mestilah menjadi salah satu agenda penting dalam perjuangan membangun semula sistem Islam. Umat Islam mesti dibebaskan daripada mulut harimau dan mulut buaya. Ia harus bebas di daratan luas yang disediakan oleh Islam. geocities


updated: Friday, January 28, 2000 11:24:56 AM

Berita Hari ini